OKTOBER 2022

Kaedah Tangani Projek Sakit


MIRI: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak supaya meningkatkan lagi usaha bagi menangani kira-kira 60 peratus projek sakit dalam masa tiga tahun dari sekarang.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, menyiapkan projek sakit dengan segera adalah menjadi harapan Premier Sarawak dan rakyat di negeri ini.

“Saya yakin, kita dapati menangani projek sakit itu melalui usaha bersungguh-sungguh,” katanya berucap pada persidangan pegawai kanan JKR di sini, semalam. Persidangan tiga hari itu dihadiri oleh 151 pegawai kanan.

Menurut Uggah, antara 30 dan 40 peratus projek sakit itu berada dalam keadaan menyedihkan dan berharap JKR dapat mencari jalan bagi mempercepatkan proses pelaksanaannya.

Kontraktor penyelamat hanya berjaya menangani 20 peratus daripadanya dan yang lain boleh diselamatkan melalui variasi harga (VOP), tegas beliau dan menambah, salah satu daripada isu projek sakit itu adalah kesalahan memilihn kontraktor.

Sehubungan itu, tambahnya, ada cadangan mengadakan seminar bagi mencari mekanisme bagi JKR untuk memilih kontraktor melaksanakan projek berkaitan untuk mengelak projek sakit.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari bersetuju untuk mengadakan seminar berkenaan dan berharap dapat mengadakannya sebelum penghujung tahun ini, kata Uggah.

Uggah juga berkata, pembangunan infrastruktur masih menjadi isu yang harus ditangani di Sarawak yang berhasrat mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjkelang 2030.

Sarawak masih memerlukan 7,000 kilometer (km)jalan raya untuk menghubungkan setiap kampung dari Lundu hingga ke Limbang di samping 4,000 kilometer jalan raya perlu dinaik taraf, katanya.

Kos membinanya memang cukup besar tetapi ini adalah sasaran Sarawak untuk dilaksanakan menjelang tahun 2030, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti